fbpx

Stor haram simpan 81,000kg baja kimia bernilai hampir RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa baja kimia yang ditemui di sebuah stor di Teluk Intan semalam. - Foto IHSAN KPDN

TELUK INTAN – Baja kimia tanpa permit bernilai RM197,489 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dari sebuah stor di sini pada pukul 4 petang semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan ke atas sebuah stor simpanan yang disyaki menyimpan barang kawalan baja kimia tanpa lesen atau permit itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan.

Beliau berkata, serbuan itu adalah hasil risikan serta pemantauan selama seminggu untuk membanteras aktiviti penyelewengan di sekitar kawasan Daerah Hilir Perak yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan serbuan membuat serbuan ke atas sebuah stor yang disyaki menyimpan baja dan telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun yang merupakan pemilik stor simpanan tersebut.

Sebahagian daripada 81,000kg baja kimia yang ditemui di sebuah stor di Teluk Intan semalam. – Foto IHSAN KPDN

“Semasa pemeriksaan dilakukan, pasukan telah menjumpai sebanyak 1,621 beg dengan anggaran 81,000 kilogram (kg) baja kimia pelbagai jenama disimpan di premis tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, pemilik stor tersebut didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan selanjutnya telah dilaksanakan dengan menyita kesemua barang kawalan baja kimia tersebut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM197,489.

“Turut disita di dalam serbuan ini adalah beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI