LONDON – Tottenham Hotspur menghampiri pentas final Liga Europa menerusi kemenangan 3-1 ke atas wakil Norway, Bodo/Glimt dalam aksi separuh akhir pertama awal pagi semalam.
Menariknya, penyerang Spurs, Brennan Johnson hanya mengambil masa 38 saat untuk meledak gol pertama dalam aksi berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu.
Ia sekali gus membangkitkan semangat barisan pemain Spurs yang kemudiannya menggandakan kedudukan melalui James Maddison pada minit ke-31 sebelum Dominic Solanke meledak gol ketiga di babak kedua.
Begitupun, Spurs masih perlu berwaspada memandangkan Bodo/Glimt berjaya meraih bekalan satu gol menerusi jaringan Ulrik Saltnes pada lewat permainan menjelang aksi timbal balik minggu depan.
Dalam masa sama, Spurs juga berharap Maddison dan Solanke tidak mengalami kecederaan serius selepas terpaksa dikeluarkan, supaya dua tonggak itu dapat beraksi di separuh akhir kedua nanti.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou berbangga dengan kemenangan anak-anak buahnya dan berharap mereka dapat mengekalkan prestasi sama untuk layak ke final berlangsung di Stadium San Mames, Bilbao, Sepanyol pada 22 Mei ini.
“Kami berada dalam kedudukan yang baik. Pemain menunjukkan prestasi cemerlang, mereka melakukan apa yang diperlukan dengan bermain tenang dan mengekalkan tekanan.
“Bodo/Glimt menjaringkan gol lewat, jadi keputusan tidak sepenuhnya mencerminkan penguasaan kami dan perlu terima hakikat ini. Jika kami mengulangi prestasi sama minggu hadapan, ia sudah mencukupi untuk kami mara,” kata Postecoglou. – AGENSI