PONTIAN – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mula menggunakan teknologi pembinaan lebih moden terutama sistem ‘modular precast’ bagi mengurangkan kos pembangunan sekali gus dapat membangunkan lebih banyak projek.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem itu adalah kaedah konkrit pratuang inovatif dengan penghasilan panel struktur, tiang, rasuk dan panel lantai yang direka bentuk terlebih dahulu, sekali gus menjimatkan masa dan kos pembinaan.
Katanya, penggunaan teknologi moden terutama ‘modular precast’ itu susulan arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian mencari kaedah mengurangkan kos pembangunan projek sekali gus lebih banyak projek dapat dilaksanakan.
Menurutnya, arahan Perdana Menteri itu disampaikan ketika Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya pada 20 Mac lalu.
“Sehubungan itu, kementerian membentangkan kertas kerja langkah mengurangkan kos membangunkan projek bagi memastikan lebih banyak projek bermanfaat lain dibangunkan untuk rakyat.
“Antara langkah yang akan digunakan termasuk ‘modular precast’ selain ‘Building Information Modelling’ (IBM) dan sistem binaan berindustri (IBS),” katanya selepas melancarkan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK) yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan CIDB, Sektor Pembangunan Teknologi dan Bisnes, Ir. Ts. Rofizlan Ahmad di Benut di sini hari ini.
Mengulas mengenai MDK, beliau memberitahu, seramai 130,000 kontraktor berdaftar di bawah CIDB disasarkan untuk beralih kepada kaedah kerja yang lebih efisien melalui digitalisasi. – KOSMO! ONLINE