fbpx

Selangor perlukan RM1 bilion tingkatkan hasil padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham ketika ditemui pemberita di Sabak Bernam, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SABAK BERNAM – Peruntukan sebanyak RM1 bilion diperlukan bagi meningkatkan hasil padi Selangor seterusnya merealisasikan penanaman padi lima kali dua tahun di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, bagi mencapainya kerajaan melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor akan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu melibatkan meningkatkan infrastruktur seperti saliran, kolam takungan tambahan untuk bekalan air dan penambahbaikan dari segi tanah jerlus.

Katanya, bagi menjayakannya memerlukan pengambilan tanah seluas 80.9 hektar.

“Kita perlukan 80.9 hektar bagi kolam baharu ini dari Sawah Sempadan di Tanjong Karang ke Sabak Bernam. Ini kerana kita hadapi masalah air untuk sampai ke Sabak Bernam.

“Sebab itu, kita mahu tingkatkan lagi supaya mana-mana tempat di Barat Laut Selangor ini dapat capai air dengan cukup. Ini selaras dengan cadangan penanaman padi lima kali dua tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra dan kesyukuran bersama pesawah Sungai Leman.

Pada majlis itu, Izham turut melancarkan teknologi baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE) yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Briar Resources Sdn. Bhd., Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Izham menegaskan, kesemua penaiktarafan itu boleh disiapkan dalam tempoh tiga tahun sekiranya peruntukkan itu diluluskan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau siap ini, kita dapat tingkatkan produktiviti disebabkan Selangor tiada lagi tanah baharu untuk pesawah.

“Selain itu, kita memang terbuka kerjasama sama ada dengan teknologi BASE dan FGV Holdings Berhad (FGV) yang menunjukkan peningkatan hasil sawah berskala besar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berlainan, Izham berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan pemberian RM100 tan bagi setiap tan untuk pesawah yang berjaya mengeluarkan sebanyak tujuh tan.

“Ini adalah insentif agar pesawah kita berjaya mengeluarkan hasil yang banyak. Terdapat lebih 9,000 pesawah, namun hanya di Sungai Leman dan Sekinchan mampu mengeluarkan output sedemikian ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI