BERA – Penduduk di sekitar Felda Bukit Mendi di sini gempar susulan penemuan tulang disyaki rangka manusia di belakang sebuah rumah di Felda berkenaan semalam.
Rangka manusia itu ditemui seorang lelaki yang sedang membersihkan semak di kawasan berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam.
Lelaki berkenaan pada mulanya menyangkakan ia hanyalah patung sebelum dinasihatkan rakannya membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati rangka manusia tersebut berada kira-kira 100 meter daripada sebuah rumah penduduk Felda Bukit Mendi.
“Kawasan tempat kejadian merupakan kawasan tanah rizab Felda dan kawasan berpaya.
“Rangka manusia itu dijumpai di kawasan semak samun dan dalam keadaan berselerak dengan pakaian seperti baju, seluar dan jaket simati juga dijumpai di sekitar kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya siasatan giat dilakukan dan rangka berkenaan telah dihantar ke Hospital Bera untuk pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Katanya, setakat ini polis masih menunggu menyiasat dan menunggu ujian DNA bagi memastikan sama ada rangka manusia ini ada kaitan dengan laporan kes Orang Hilang melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun pada Julai tahun lalu.
Katanya, setakat ini keluarga terdekat mangsa yang dilaporkan hilang menyatakan baju yang ditemukan berhampiran rangka berkenaan adalah milik mangsa.
“Kita rujuk kepada pihak hospital untuk pengesahan identiti dan dapatkan punca kematian,” katanya. – KOSMO! ONLINE