SINGAPURA – Rakyat Singapura keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya umum di mana Perdana Menteri Lawrence Wong berdepan ujian besar pertama beliau menentang pembangkang baharu yang lebih bertenaga ketika situasi ekonomi pulau berpusatkan perdagangan itu agak tidak menentu.
Parti pemerintah pimpinan Wong, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menerajui Singapura ke arah kemakmuran sambil menggunakan tangan besi untuk menyekat penentangan, dijangka mudah mengekalkan majoritinya di Parlimen.
Popular selepas mengetuai pasukan petugas Covid Singapura, Wong mengambil alih teraju pemerintahan daripada pendahulunya Lee Hsien Loong, tahun lepas.
Wong berulang kali berkata bahawa beliau memerlukan mandat kuat untuk mengemudi Singapura yang sangat bergantung kepada perdagangan berikutan ketidaktentuan ekonomi kesan tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Saya katakan kepada semua rakyat Singapura, sila pertimbangkan dengan teliti. Ini bukan satu perjudian. Ini masa depan keluarga anda, masa depan anda, masa depan Singapura kita,” katanya semasa berkempen.
Pada 2020, kumpulan pembangkang terbesar di Singapura iaitu Parti Pekerja (WP), mencatatkan kejayaan bersejarah apabila menang 10 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan sekali gus lonjakan ketara berbanding kemenangan empat kerusi sebelum ini.
Pada pilihan raya kali ini, WP berharap untuk mencapai lebih banyak kemenangan berasaskan momentum tersebut dengan menampilkan calon-calon lebih berkarisma termasuk seorang peguam terkemuka.
WP menarik kehadiran orang ramai pada perhimpunan semasa kempen, sama seperti pilihan raya pada masa lalu, tetapi jumlah besar itu jarang diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.
Dalam kempen kali ini, calon-calon WP membidas kerajaan kerana menaikkan cukai barangan dan perkhidmatan di tengah-tengah peningkatan inflasi dan menegaskan, kerajaan tidak mengambil langkah mencukupi untuk mengekang kenaikan kos di Singapura yang merupakan antara negara paling mahal di dunia.
Singapura mempunyai kira-kira 2.75 juta pengundi layak yang akan memilih seramai 97 ahli Parlimen.
Pusat-pusat mengundi dibuka seawal pukul 8 pagi selama 12 jam, dengan keputusan awal dijangka disiarkan sekitar tengah malam ini. – AFP