LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta seakan ‘berada di persimpangan’ untuk menentukan masa depannya dengan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth di Stadium Emirates tengah malam ini menjadi detik penting buatnya.
Bagaimanapun, Arteta mungkin menerima sedikit kelegaan untuk aksi tersebut apabila pertahanannya, Riccardo Calafiori dilaporkan hampir pulih daripada kecederaan lutut untuk kembali beraksi.
“Jika semuanya berjalan lancar, saya fikir dia (Calafiori) akan kembali lebih awal. Dia sudah kembali ke padang dan melakukan beberapa tugasan dan kami perlu lakukan perkara dengan tepat untuk pastikan kepulangannya ke dalam pasukan,” katanya.
Arteta yang mengambil alih tugas daripada Unai Emery lima tahun lalu berjaya membawa kestabilan dan kemajuan ketara kepada kelab, namun masih gagal menghadirkan kejayaan besar buat penyokong setia The Gunners.
Menurut laporan Sky Sports, Calafiori, Jorginho dan Kai Havertz belum menjalani latihan penuh bersama rakan-rakan lain dalam skuad utama, namun semuanya sudah mula menunjukkan petanda positif.
Kegagalan mencabar Liverpool dalam perebutan kejuaraan EPL musim ini selain tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini menyaksikan legenda kelab, Jens Lehmann ‘membuka mulut’ untuk memberikan peringatan kepada Arteta.
Arsenal kini dicabar hebat Newcastle United, Manchester City, Chelsea dan Nottingham Forest dalam perebutan tempat kedua sekali gus dilihat mampu menjejaskan kredibiliti Arteta sebagai pengurus untuk jangka masa panjang jika gagal ke UCL musim depan. – AGENSI