LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) sedia memberikan peluang kepada Kelantan Red Warriors (KRW) untuk beraksi di pentas Liga A1 Semi Pro musim depan.
Bagaimanapun, pengurusan KRW perlu memenuhi syarat dengan mengemukakan penyata bank bagi membuktikan kelab itu benar-benar mempunyai dana mencukupi bagi menampung kos pasukan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak rela tertipu lagi dengan ‘wayang’ pasukan yang sekadar mengemukakan surat penaja ketika membuat permohonan.
“Kita pun nak bukti betul-betul, bukannya sekadar surat penaja. Kali ini saya cakap kita nak tengok bukti dana iaitu duit sudah ada dalam akaun pasukan, baharu boleh kita pertimbangkan.
“Walaupun mereka pasukan baharu, apa nama pasukan sekali pun saya tidak kisah tetapi saya tidak mahu lagi surat penaja dan kalau ada bukti (dana), tunjukkan,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd. Yusoff turut menjelaskan minimum pasukan akan mengambil bahagian sebanyak 12 kelab, namun jika lebih ia adalah perkembangan bagus kepada Liga A1 Semi Pro yang kini berperanan sebagai divisyen kedua bola sepak domestik.
“Kita lihat pasukan yang (sudah) main sekarang berbelanja RM3 juta atau pun RM4 juta. Jadi minimum RM3 juta hingga ke RM5 juta sudah cantiklah,” tambahnya.