PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menggesa kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk menilai semula kekuatan sumber kewangan supaya tidak lagi menuding jari ke arah pihak lain pada masa hadapan.
Tunku Mahkota Ismail menerusi kenyataan dalam laman sosial X mahu pihak pengurusan pasukan yang bertanding dalam Liga M agar ‘mencermin diri’ dan mencontohi pasukan yang berjaya mengawal kewangan lebih efisyen seperti Kuching City FC dan Selangor FC.
Kata baginda, semua pasukan digesa supaya tidak berbelanja lebih daripada kemampuan dan mencari individu yang tepat untuk menguruskan kelab masing-masing.
“Sendiri tak bayar gaji, sendiri tak jaga kebajikan, sendiri gagal merancang dan mengurus perbelanjaan, tapi salahkan orang lain, salahkan peraturan, salahkan liga dan lain-lain.
“Apa yang susah? Bayar gaji dan jangan berbelanja melebihi kemampuan. Cari orang yang minat dan faham bola sepak untuk menguruskan kelab bola sepak. Berbelanjalah secara berhemah. Ikuti contoh Kuching (City) FC dan Selangor FC,” katanya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini mendedahkan pendekatan bola sepak tempatan ibarat ‘memakai baju bukan saiz sendiri’ apabila cuba meniru model luar kemampuan sehingga membebankan kewangan dan menjejaskan prestasi pasukan.
Situasi semakin meruncing apabila beberapa kelab didakwa sukar untuk memuat naik dokumen ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam usaha memohon lesen kebangsaan apabila masih terpalit hutang.
Ia menyebabkan MFL memberi lanjutan masa buat semua kelab Liga M untuk memohon lesen kebangsaan selewat-lewatnya pada 10 Mei ini.