KEMAMAN – Kawasan hutan seluas 17 hektar terbakar dipercayai disebabkan cuaca panas di Kampung Mak Chili Paya, di sini, sejak Rabu lalu.
Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya memadamkan 11 hektar daripada keseluruhan kebakaran terbabit.
Ketua Zon 2 JBPM Terengganu, Rohaya Jamil berkata, usaha pemadaman baki enam hektar yang masih terbakar telah dipertingkatkan dengan keanggotan ditambah kepada 39 orang berbanding cuma 19 orang semalam.
“Kesemua mereka dari lapan balai bomba dan penyelamat berhampiran. Operasi pemadaman kebakaran hutan itu juga dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Polis Diraja Malaysia.
“Teknik pemadaman menggunakan semburan air dan bantuan jentolak,” katanya di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Rohaya berkata, operasi pemadaman berdepan cabaran kerana akses masuk ke lokasi kebakaran tersebut agak jauh iaitu kira-kira dua kilometer dari jalan utama. – KOSMO! ONLINE