VALLETTA, Malta – Sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Semenanjung Gaza diserang dron di luar pantai Malta, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kapal itu kemudian terbakar dan menghantar isyarat kecemasan (SOS).
Serangan dron itu menyebabkan 30 sukarelawan terkandas di tengah laut hampir 10 jam, kira-kira 17 kilometer di luar pantai Malta.
Pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Gabungan Kebebasan Flotila (FFC) berkata, kapal mereka diserang di perairan antarabangsa pagi semalam.
Rakaman video memaparkan api marak di atas kapal. Menurut FFC, kapal mereka sarat dengan bekalan untuk dihantar ke Gaza yang kini diserang tentera Israel.
“Serangan dron ini menyebabkan letupan dan kerosakan besar pada kapal, menjadikannya mustahil untuk meneruskan misi,” kata seorang aktivis hak asasi manusia, Greta Thunberg.
Setakat ini, FFC tidak membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak berhubung serangan itu.
Sementara itu, pegawai akhbar FFC, Yasemin Acar berkata, terdapat lubang pada kapal itu yang kini sedang tenggelam.
Menurutnya, kapal itu menghantar isyarat SOS ke negara sekitar, termasuk Malta, manakala sebuah bot kecil berlayar dari selatan Cyprus menuju ke kapal tersebut.
Acar memberitahu MailOnline: “Dron itu sengaja menyerang generator kapal, menyebabkan ia hilang kuasa dan berisiko tinggi untuk tenggelam.”
Sebuah bot peronda Angkatan Tentera Malta turut dihantar ke kawasan kejadian dengan api dapat dikawal pada pukul 1.28 pagi (waktu tempatan).
Kerajaan Malta berkata, semua anak kapal dan penumpang kapal itu disahkan selamat pada pukul 3.45 pagi (waktu tempatan). – AGENSI