LONDON – Aston Villa belum berhasrat untuk kibarkan bendera putih dalam usaha memburu slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas menang 1-0 ke atas Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Pada aksi di Villa Park itu, pemain tengah, Youri Tielemans muncul wira pasukan apabila menanduk masuk gol tunggal pada minit ke-15.
Skuad tuan rumah memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan menerusi percubaan Ollie Watkins dan Donyell Malen tetapi rembatan yang dilakukan gagal menerjah jaring.
Kemenangan tersebut menyaksikan Villa kini mengumpul 60 mata selepas mengharungi 35 perlawanan di kedudukan ketujuh liga.
Lima pasukan terbaik (Top 5) EPL musim ini akan diberi slot automatik bersaing di peringkat tertinggi Eropah itu pada musim depan.
Sementara itu, Fulham pula kekal dengan 51 mata di kedudukan kelapan. – AGENSI