JOHOR BAHRU – Sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara khususnya negara jiran berdekatan Johor kini semakin rancak mencari mangsa terutamanya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Kebiasaannya, pelajar lepasan SPM yang sedang dalam dilema sama ada mahu menyambung pelajaran atau terus bekerja, akan menjadi sasaran utama sindiket kerana mereka mudah menjadi mangsa job scam.
Berdasarkan statistik polis Johor, kira-kira 300 laporan diterima membabitkan kes job scam antara Januari hingga April tahun ini dan sindiket semakin aktif sejak kebelakangan ini.
Ia melibatkan kerugian hampir RM5 juta dengan tawaran kerja bukan sahaja di Singapura, malah negara-negara tumpuan sindiket seperti Australia, Korea dan Myanmar.
Menurut sumber polis, angka itu menunjukkan satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat di seluruh negara terutama ibu bapa dan golongan remaja.
“Sindiket penipuan atau lebih mudah kita panggil scammer ini akan mencari peluang dan ruang untuk mengaut keuntungan atas angin hanya menggunakan helah bermain pujukan kata-kata.
“Sekarang ini, perkembangan teknologi sangat mudah seperti Facebook, TikTok dan Telegram. Sindiket menggunakan kemudahan ini untuk melakukan jenayah,” katanya kepada Kosmo!.
Sumber itu berkata, punca utama mangsa mudah terpengaruh dengan taktik job scam ialah tawaran gaji yang lumayan dan tidak masuk akal dengan hanya memiliki SPM.
Sebagai contoh, gaji bulanan ditawarkan di Singapura bermula SG$1,200 (RM3,946) hingga SG$3,000 (RM9,866).
Di Korea pula sindiket menawarkan gaji sehingga 3 juta won (RM9,000) sebulan dengan hanya menjadi pemetik sayur serta buah-buahan.
Di negara Indochina seperti Thailand, Vietnam, Cambodia, Myanmar, dan Laos pula mereka letak tangga gaji mencecah RM10,000 sebulan.
“Tawaran upah yang tinggi ini sudah tentunya akan menyebabkan mangsa teruja, sekali gus gelap mata sehingga terjerat dengan helah janji manis sindiket.
“Mereka diminta membayar sejumlah wang jika mahukan pekerjaan itu, tetapi selepas membuat bayaran, sindiket ini lesap begitu sahaja.
“Ada juga mangsa yang dipaksa bekerja dalam sektor lain atau disuruh pula menjadi scammer,” katanya.
Pada Jun 2023, Kosmo! melaporkan Polis Diraja Malaysia merekodkan seramai 107 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan masih terkandas di negara luar antaranya Kemboja, Myanmar dan Laos.
Sehingga kini, sebahagian mangsa telah dibawa pulang.
Seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terpengaruh dengan sindiket terbabit melalui iklan yang ditawarkan.
“Mereka beritahu akan dapat gaji banyak, komisen, perjalanan kapal terbang pergi balik, makan dan tempat tinggal percuma.
“Apabila sudah menjadi mangsa, rasa macam duduk dengan penjenayah, masa itu hanya ada perasaan kesal sahaja,” ujarnya.















