KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 44.2, Jalan Johor Bahru–Mersing, di sini malam tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.50 malam dan melibatkan sebuah Proton Saga, Perodua Alza serta Toyota Corolla Cross.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian itu menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut, manakala 10 lagi cedera.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Proton Saga, seorang wanita tempatan berusia 47 tahun yang dalam perjalanan dari Rompin ke Kota Tinggi, dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Proton Saga tersebut membawa lima penumpang berusia antara tujuh hingga 87 tahun termasuk mangsa merupakan anak kepada pemandu wanita terbabit yang duduk di bahagian tempat duduk belakang.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Alza pula merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan turut membawa lima penumpang lain berusia antara tiga hingga 54 tahun, manakala pemandu Toyota Corolla Cross ialah seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang memandu bersendirian.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi menerima rawatan lanjut. Mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tujuan bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE