PETALING JAYA – Speaker Negeri Johor, Datuk Seri Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan parti bimbingan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pertubuhan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dibubarkan kerana hasrat awal untuk menggantikan UMNO sudah berakhir.
Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT) berkata, Bersatu perlu mencari kelainan kerana parti tersebut tidak boleh bersaing dengan UMNO dan Pas.
“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Ahli Parlimen Machang) mengakui sokongan orang Melayu terhadap Bersatu sudah tepu. Makin lama makin merosot. Memang benar. Bersatu sukar untuk bersaing dengan UMNO dan Pas.
“Dua parti itu pilihan utama orang Melayu. Bersatu tidak boleh bersaing dengan UMNO dan Pas. Lebih baik Bersatu bersaing dengan PKR.
“Justeru jadikan Bersatu parti berbilang kaum macam PKR. Bersatu perlu ‘lain dari yang lain’,” tulisnya di Facebook semalam.
Tambah Mohd. Puad, satu lagi pilihan terbaik adalah dengan membubarkan Bersatu kerana hasrat awal parti berkenaan untuk menggantikan UMNO sudah berakhir.
“Lebih baik cari warna dan cogan kata lain supaya tidak nampak meniru UMNO. Barulah ‘lain dari yang lain’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE