PETALING JAYA – Kesemua waris bagi 18 kanak-kanak yang diselamatkan dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak persendirian di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini, telah berjaya dikesan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, pihaknya telah selesai menghunungi kesemua waris dan sedang menyediakan laporan sosial.
“Semua dah dapat dihubungi. JKM sedang sediakan laporan sosial kanak-kanak untuk dibawa kehadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
“Mahkamah bagi tempoh dua bulan,” katanya ketika dihuhungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, JKM negeri sedang mengesan waris kepada kanak-kanak terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan itu.
“JKM Selangor telah mendapatkan perintah jagaan sementara selama dua bulan, kemudian proses itu akan diteruskan sehingga selesai siasatan, dan jika kita berjaya temukan waris kanak-kanak ini, mereka akan dipulangkan semula kepada pihak yang sah dan layak menjaganya,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan memaklumkan pusat jagaan kanak-kanak persendirian terbabit diarahkan tutup susulan tular video yang mendakwa berlakunya kes penderaan terhadap penghuni di premis itu. – KOSMO! ONLINE