KUALA LUMPUR – Seorang wanita dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan wanita itu pada pukul 3.02 petang hari sama.
Katanya, wanita itu dijadual hadir di Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan berkaitan siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut.
“Ketidakhadiran mangsa pada hari tersebut disahkan oleh pihak SPRM.
“Sebelum itu mangsa sudah beberapa kali hadir ke pejabat berkenaan untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, laporan polis turut dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan berhubung kehilangan wanita tersebut.
Keterangan beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakam bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan kehilangan seorang wanita didakwa diculik ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM Putrajaya untuk memberikan keterangan.
Abang mangsa mendakwa, kenderaan e-hailing yang dinaiki adiknya dipintas tiga kenderaan tidak dikenali sebelum wanita itu diarahkan menaiki salah sebuah kereta berkenaan.
Dakwa abang mangsa, sehingga kini adiknya masih gagal dijejaki atau dihubungi setelah lebih 20 hari menghilang. – KOSMO! ONLINE