BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu parti itu kembali dominan dan memenangi kerusi Parlimen terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, tanda-tanda yang menunjukkan parti tersebut mampu mencapai keputusan tersebut telah dapat dilihat menerusi beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang dilalui sebelum ini.
“Tanda-tanda ke arah itu telah ada di mana-mana, pada PRK yang telah dilalui dengan jumlah kemenangan oleh rakan-rakan yang menjadi calon dalam PRK ini.
“Bahkan dalam suasana yang begini, kekuatan kerajaan PH (Pakatan Harapan) sekarang ini, malah pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ada, UMNO menjadi tunjang pembentukan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani sekarang ini,” katanya pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk 2025 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, UMNO masih memperjuangkan keadilan bagi Datuk Seri Najib Tun Razak dan menafikan sebarang tohmahan bahawa ia bukan lagi menjadi agenda parti tersebut. – KOSMO! ONLINE