fbpx
Peniaga martabak, Hafizuddin membungkus martabak yang dipesan pelanggan di Pasar Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Subsidi telur: ‘Kalau selalu naik harga, pelanggan pun lari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian peniaga serta pemilik restoran memaklumkan mereka masih mengekalkan harga makanan berasaskan telur biarpun kadar subsidi telur ayam telah dikurangkan berkuat kuasa semalam.

Kata peniaga, ketika ini harga telur ayam di pasaran masih sama, namun sekiranya berlaku sedikit kenaikan, ia tidak akan memberi kesan besar terhadap harga makanan.

Di Tapah, Perak, seorang pemilik bersama Restoran Warisan Bonda Samsiah, Nurul Hidayah Ismail, 47, berkata, setakat ini, harga makanan berasaskan telur yang dijual masih kekal.

“Tidak tergamak untuk menaikkan harga, lagipun majoriti pelanggan tetap yang makan di restoran ini bukannya semua orang senang, ada pekebun, pekerja industri dan ramai golo­ngan B40.

“Asalkan lepas untuk membayar gaji pekerja, kos utiliti dan tidak berhutang setiap bulan cukuplah,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Penebar roti canai, Saiful Nizam Abu, 40, pula berkata, harga roti telur masih kekal RM2.80 sekeping.

“Jika selalu naik harga, pelanggan pun lari, jadi kekalkan, sama-sama berkongsi rezeki asalkan kedua-dua pihak berpuas hati,” katanya.

Di Kuala Lumpur, peniaga martabak, Muhd. Hafizuddin Mohd. Zaki, 33, tidak bercadang untuk menaikkan harga jualan selagi kenaikan harga telur tidak terlalu mendadak.

“Saya kalau harga itu betul-betul naik macam harga bawang dan telur sebelum ini, memang kita akan naikkan harga martabak, tetapi kalau setakat naik sedikit kita akan kekalkan harga RM5 sekeping,” katanya.

Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi telur ayam bermula 1 Ogos ini.

Kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji berkuat kuasa semalam, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN