KUALA LUMPUR – Impian beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menyumbang mata pertama skuad badminton negara tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2025 di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, sebentar tadi.
Gandingan negara yang turun selaku ranking keempat dunia itu tewas dengan keputusan straight set 17-21, 17-21, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 kepada pasukan tuan rumah selaku pilihan utama kejohanan.
Meskipun cuba memberikan tentangan sengit, Tang Jie-Ee Wei dilihat sukar menyaingi rentak pantas dan pertahanan kukuh pasangan tuan rumah sekali gus mendahului rekod pertemuan 6-2 ke atas mereka.
Kekalahan ini memberi tekanan awal kepada skuad negara yang kini perlu bergantung kepada perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk mencari mata penyamaan.
Jun Hao perlu melakukan persiapan rapi apabila berdepan cabaran besar menentang Shi Yu Qi yang juga pemain nombor satu dunia yang menjadi sandaran utama China dalam kategori perseorangan lelaki.
Jun Hao, yang kini berada di ranking ke-26 dunia, perlu mencipta kejutan terbesar dalam kariernya jika mahu menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir, seperti yang dilakukan pasukan negara pada Piala Sudirman 2023.
Seterusnya, Malaysia akan menurunkan K. Letshanaa yang bakal berdepan cabaran sengit daripada pemain ranking No. 7 dunia, Chen Yu Fei yang juga merupakan salah satu pemain terbaik China dalam kategori ini.-KOSMO! ONLINE