KOTA SAMARAHAN – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam bilik sewanya di Desa Ilmu di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superitennden Damataries Lautin berkata, mangsa, 31, yang bekerja di sebuah pasar raya di sini tinggal bersendirian di bilik sewa tersebut sejak beberapa bulan lalu.
“Mayatnya ditemui selepas seorang lelaki menghubungi balai polis memaklumkan penyewa sebuah bilik di bangunan tersebut tidak memberikan sebarang respons sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 5.50 petang turut menemui bilik mangsa dalam keadaan tidak terurus.
Bagaimanapun, Damataries berkata tiada sebarang kesan pecah masuk atau kecederaan pada tubuh mangsa.
“Barangan peribadi dan dompet juga ditemui dalam bilik berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE