PONTIAN – Misteri kehilangan remaja yang dilaporkan hilang ketika berjoging di Benut, Isnin lalu masih menjadi tanya apabila sehingga hari ini masih tiada sebarang petunjuk.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, lokasi terakhir Tan Boon Chin, 18, berjaya dikesan ialah di sebuah perhentian bas di Benut.
Katanya, remaja itu dilihat sedang berjoging dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa tertumpu di Sungai Benut dan Sungai Pinggan.
“Perhentian bas itu terletak berhampiran di kawasan sungai, jadi operasi menjejaki mangsa tertumpu di kawasan sungai berhampiran iaitu Sungai Benut dan Sungai Pinggan. Hari ini pula operasi mencari diteruskan di pesisiran kedua-dua sungai tersebut yang melibatkan anggota dari Balai Polis Benut, Sukarelawan Bomba Benut serta pemancing dan nelayan.
“Kami menggerakkan anggota polis dengan bantuan orang awam ke lokasi tersebut yang dipercayai laluan remaja tersebut berjoging pada 28 April sebelum hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE