PEMAIN legenda skuad Tok Gajah, Azamuddin Akil tidak dapat membayangkan jika Sri Pahang benar-benar menarik diri daripada kempen Liga Malaysia (Liga M) selepas mempamerkan aksi yang konsisten musim ini.
Menurut Azamudin yang mesra dengan gelaran Alex itu, kejayaan Sri Pahang mara ke pentas final Piala Malaysia minggu lalu telah memberi aura positif dengan sambutan yang diberikan oleh penyokong juga cukup luar biasa.
Kata Alex, pihak pengurusan perlu kekal komited untuk memastikan Sri Pahang bersaing di peringkat tertinggi arena bola sepak kebangsaan kerana penyokong ke-12 sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira apa jua situasi nanti.
“Saya sebenarnya agak terkejut apabila melihat pemain-pemain beraksi dengan cukup cemerlang pada malam final Piala Malaysia bertemu JDT kerana sangat baik dan berkualiti.
“Justeru, saya rasa tidak wajar jika Sri Pahang menarik diri dalam kancah Liga Malaysia sebab saya percaya mesti ramai peminat bola sepak akan rasa sedih dan kecewa.
“Semua orang tahu Pahang adalah pasukan yang banyak mencipta sejarah tersendiri dan amat rugi jika kita kehilangan pasukan ini dalam liga sebab Pahang juga banyak melahirkan pemain berbakat besar.
“Jadi, saya harap akan ada sinar untuk pasukan ini terus kekal dalam Liga M dan pihak pengurusan juga dapat mempertimbangkan kembali apa jua keputusan untuk menarik diri,” katanya.
Status skuad kendalian Fandi Ahmad dalam saingan Liga M masih menjadi tanda tanya apabila pemilik kelab Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk undur diri musim depan.