PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memuji barisan pemain yang mempamerkan aksi luar biasa untuk melakar kemenangan 1-0 ke atas Arsenal dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, pemain sensasi Les Parisiens, Ousmane Dembele menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk membawa pasukan selangkah ke pentas final UCL pertama sejak edisi 2020.
Kata Enrique, semua pemain telah mempamerkan mentaliti yang cukup hebat untuk meraih keputusan penting di tempat lawan dan mahu momentum sama diteruskan pada perlawanan kedua minggu depan.
“Saya gembira dengan sikap pemain yang bekerja keras di atas padang untuk meraih kemenangan yang cukup penting. Mungkin kita patut menang dengan keputusan lebih besar, tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan.
“Apa yang pasti, bukan mudah untuk kita menang di sini dengan suasana yang cukup hebat, tetapi jaringan awal yang diraih cukup penting untuk memudahkan lagi misi pasukan membawa bekalan positif,” katanya.
Sementara itu, Enrique sedikit resah apabila Dembele mengalami kecederaan hingga terpaksa dikeluarkan pada babak kedua dan digantikan dengan Bradley Barcola. – AGENSI01