PARIS – Tonggak Paris Saint-Germain (PSG), Vitinha menyeru rakan-rakan sepasukan untuk tidak mendabik dada selepas berjaya menewaskan Arsenal 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Menurut Vitinha, kelebihan tipis itu tidak memberi sebarang makna jika pasukan masih gagal untuk melangkah ke final UCL musim ini jika tewas pada pusingan kedua minggu depan.
“Kita sangat gembira dapat meraih kemenangan dan apa yang lebih penting, pasukan beraksi dengan baik dan bekerja dalam satu pasukan tidak kira ketika menyerang mahupun bertahan.
“Semua menunjukkan semangat juang tinggi untuk membuktikan bahawa pasukan memang terdesak untuk melangkah ke pentas final saingan UCL musim ini.
“Kita juga berjaya menjaringkan gol lebih awal dan pujian wajar diberikan kepada strategi jurulatih yang agak menjadi pada aksi kali ini,” kata pemain kelahiran Portugal itu.
Sementara itu, Vitinha yang diberi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan mengakui kelebihan penjaga gol pasukan, Gianluigi Donnarumma memainkan peranan penting untuk memastikan pasukan membawa bekalan berharga ke Paris.
“Pasukan berjaya mencipta banyak peluang tetapi kekuatan utama adalah di posisi benteng dengan Donnarumma berjaya menyelamatkan percubaan lawan.
“Saya rasa 1-0 adalah keputusan yang adil tetapi kita kena menggandakan usaha pada aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI