LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyeru agar barisan pemain membuat kebangkitan luar biasa selepas tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Emirates itu, misi Arsenal untuk mara ke pentas final UCL buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun nampak sukar apabila PSG meraih kemenangan hasil gol tunggal Ousmane Dembele.
Menurut Arteta, kekalahan tersebut tidak merentap semangat pasukan yang masih percaya peluang untuk beraksi ke perlawanan final masih terbuka jika menang aksi separuh akhir kedua di Paris minggu depan.
“Kita baru sahaja selesai separuh masa dan apa yang saya katakan kepada pemain sama seperti ketika kita menang bertemu Real Madrid pada aksi suku akhir yang lepas. Justeru, kita wajib ke Paris dan melakar kemenangan.
“Jika pasukan mahu mara ke pentas final, kita perlu lakukan sesuatu yang istimewa dan saya optimis peluang kami belum tertutup sepenuhnya kerana masih ada baki 90 minit perlawanan nanti,” katanya.
Sementara itu, Arteta mengakui kesilapan taktikal menjadi faktor utama pasukan tewas pada perlawanan kali ini selepas dibolosi seawal minit keempat oleh pasukan pelawat.
“Kita ada masalah di awal saingan dan selepas 15 minit, kita berjaya atasi isu tersebut dan kembali mendominasi saingan. Kita juga ada peluang satu lawan satu tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol lawan,” katanya. – AGENSI