Walaupun ini adalah trip mencandat sotong, tetapi aktiviti memancing ikan tidak pernah dikecualikan. Kadangkala, ada sahaja hasil ikan yang boleh dibawa balik.
SAYA sememangnya suka mencandat sotong. Saban tahun pasti akan ada trip mencandat sotong dilakukan. Selalunya, perairan Terengganu menjadi pilihan utama, namun kali ini saya beralih pula ke perairan Mersing di Johor untuk mencuba potensi mencandat sotong di sana pula.
Sebaik tiba di jeti, kami memunggah dan menyusun segala peralatan di dalam bot tekong Jalil iaitu dalam jenis C berkeluasan lebih kurang 40 x 10 kaki.
Tepat pukul 9 pagi, bot yang memuatkan seramai tujuh orang peserta termasuk saya mula bergerak meninggalkan jeti yang terletak di muara bersebelahan barisan kedai makan di Mersing.
Keadaan cuaca ketika trip nampaknya begitu bagus, ombak tidak tinggi dan angin juga berhembus perlahan.
Selepas beberapa jam perjalanan, kami tiba di unjam pertama untuk menurunkan apollo atau dikenali sebagai sabiki bagi mencari umpan ikan hidup sebagai persediaan sekiranya lubuk sotong nanti hasilnya kurang atau langsung tidak ada penghuninya.
Tidak banyak umpan hidup yang kami perolehi, namun cukup untuk tempoh pancingan selama tiga hari dua malam.
Lagipun pancingan dasar untuk ikan hanyalah sambil-sambilan, mencandat sotong merupakan acara utama.
Cukup puas mengutip ikan-ikan kecil untuk dijadikan umpan, bot bergerak semula menuju ke lokasi sasaran.
Sambil menunggu tiba ke lokasi, kami sempat menyiapkan peralatan mencandat sotong dan makan tengah hari yang disediakan oleh awak-awak bot.
Kira-kira pukul 5 petang, kami tiba di lokasi pilihan yang menghadap Pulau Pemanggil.
Sesi pancingan bermula agak lembab dengan hasil pancingan hanya ikan-ikan bersaiz kecil yang dapat ditawan. Ada rakan yang sudah menurunkan candat awal lagi.

Pesta sotong
Bermula pada pukul 6 petang, sotong mula mencuit candat yang dihulurkan.
Nampak gayanya, kami sudah berada di lokasi yang tepat kerana hari masih terang lagi, sotong sudah sudi menjamah candat yang kami hulurkan. Banyak kali berlaku, dua atau tiga ekor sotong dinaikkan sekali gus.
Menjelang malam, suasana mula berubah bagaikan pesta mencandat sotong. ‘Senjata’ utama candat daripada jenis yang berwarna cerah garang dengan corak berbelang-belang menjadi pilihan utama sotong sebagai mana disarankan oleh tekong Jalil.
Selepas itu, giliran saya pula mendapat sotong dengan dua atau tiga ekor sekali gus.
Sedang rancak mencandat sotong, tiba-tiba candat killer saya pula putus direntap ikan semasa menaikkan sotong.
Selepas kehilangan candat tersebut, kutipan sotong saya menjadi agak suram.
Di sini boleh diketahui, bukan semua candat menjadi untuk sotong. Ia lebih gemar meragut candat dengan jenis, saiz dan warna tertentu sahaja bergantung kepada masa dan arus.
Oleh itu, penting bagi pencandat untuk mencuba dan bertukar-tukar candat sehinggalah dapat jenis, saiz atau warna sesuai.
Yu kemejan
Sedang leka kami menaikkan sotong, tiba-tiba joran Ardi yang dilabuhkan umpan pancingan dasar pula menerima lenturan hebat.
Selepas keadaan huru-hara berlalu, seekor yu kemejan berjaya didaratkan. Dalam masa sama, Lan pula memperoleh seekor ikan haruan tasik ‘remaja’.
Menjelang tengah malam, sotong dan ikan ‘mengunci’ mulut menyebabkan kebanyakan daripada kami tidur.
Keesokan paginya, kami naik ke Pulau Pemanggil untuk mandi dan berehat. Pada pukul 2.30 petang, kami kembali semula ke dalam bot.
Selepas beberapa lokasi yang kami singgah, tidak banyak hasil yang diperolehi, hanya beberapa ekor sotong yang dapat dicandat di siang hari.
Malamnya, kami berpindah ke beberapa lokasi sehingga pukul 10 malam bot diparkir. Kelihatan beberapa buah bot yang lain turut sama berlabuh di tempat sama sehingga ke pagi.
Semasa di lubuk terakhir ini, seekor lagi ikan yu kemejan ditewaskan, kali ini di tangan Zikri pula yang berumpankan sotong segar.
Saya pula memperolehi seekor mayong. Lima minit berselang, Khairul juga mendapat seekor mayong atau ikan jahan, panggilan orang tempatan.
Malam itu kami tidak banyak memperoleh hasil yang membanggakan, hanya ikan-ikan kecil.
Selepas sarapan, bot mula bergerak pulang dan kami selamat tiba di jeti pada pukul 1 tengah hari.














