fbpx

Tak balik rumah, ‘berkurung’ seorang diri angkara Pak Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fattah menggunakan sepenuhnya naluri  kebapaan bagi  menterjemahkan betapa seksanya rasa apabila kehilangan anak tersayang. 

BERAKSI dalam sebuah naskhah yang mampu menyerlahkan taring sebagai pelakon bukan mudah untuk dimiliki. 

Ibarat rezeki jatuh ke riba jika watak yang diterjemahkan mampu membuatkan penonton terpegun sekali gus meraih pujian ramai.

Rezeki itulah yang diraih Fattah Amin apabila diberi peluang menjadi teraju utama filem arahan Dain Said, Kulit Wayang.

Mengakui itu amanah paling berat pernah dilakukan, Fattah  atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin berkata, dia ‘bertapa’ di Terengganu selama sebulan bagi mendalami watak tok dalang bernama Pak Lee.

Lebih sukar, dia juga perlu mempelajari dan memahami dialek Kelantan yang sebelum ini terlalu asing buat dirinya.

Menerusi filem garapan sutradara terkenal Dain Said, Fattah memegang watang tok dalang bernama Pak Lee.

“Kalau nak cakap ini watak terberat, ya betul. Sebelum ini orang kata berlakon filem epik sudah sukar tetapi bagi saya ini lagi epik!’

“Pak Lee banyak mengerah emosi dan jiwa saya larut dengan karakter sebagai tok dalang termasuk beraksi di belakang kelir serta bermain dengan patung wayang kulit.

“Terlalu banyak ‘kerja rumah’ saya lakukan untuk menjiwai watak ini sampai ada satu masa saya duduk di Terengganu selama sebulan, tak balik rumah dan ‘berkurung’ seorang diri dalam bilik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Cabaran

Bercerita tentang cabaran, Fattah berkata paling berat perlu meluahkan emosi bagi memberi nyawa kepada watak Pak Lee.

Ujarnya, kebimbangan dan rasa sedih sekiranya kehilangan seorang anak itu yang perlu dilontarkan namun pengalaman sebagai bapa banyak membantunya.

“Bila baca skrip, saya sudah tahu watak Pak Lee sangat berat lebih-lebih lagu dia perlu bersedih akibat kehilangan anak kesayangan. Rasa itu sangat tragis.

“Namun syukur, hasil bimbingan daripada guru lakonan semuanya lancar termasuk usaha ubah skrip dari bahasa Melayu kepada dialek Kelantan agar lebih mudah difahami,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia mengakui gementar bekerja dengan Dain yang yang menghasilkan banyak karya hebat.

“Pada asalnya, watak ini untuk pelakon lain tetapi selepas penggambaran tertunda dan sebagainya, saya terpilih dan anggap ini rezeki saya.

“Secara jujur, rasa sangat gementar untuk berada dalam naskhah arahan Dain ditambah pula dia ‘award-winning director’.

“Dain ada perspektif sendiri yang kita sendiri tak pernah terfikir dan seorang ‘perfectionist’. Risau juga tak dapat penuhi kehendak dia tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.

Menelusuri pengalamannya menyemai emosi Pak Lee, Fattah membayangkan kesengsaraan jiwanya sekiranya kehilangan puterinya, Nur Fatima Aisya untuk menghidupkan karakternya.

“Bila cakap pasal anak, tiada apa yang boleh difikirkan melainkan zuriat sendiri.

“Untuk watak ini, saya gunakan sepenuhnya naluri kebapaan dan memang tidak boleh bayangkan kalau kehilangan Fatima,” tuturnya.

Jelasnya, watak Pak Lee yang hidupnya merana selepas kematian anaknya bernama Ayu sangat dekat dengan dengan dirinya yang kini tidak dapat bertemu Fatima setiap hari. 

“Sudah pasti saya teringat anak sendiri sepanjang melakonkan watak itu sebab usia kanak-kanak yang melakonkan karakter Ayu lebih kurang Fatima.

“Mungkin disebabkan itu, saya mampu menjadi Pak Lee yang trauma akibat kehilangan tragis anaknya, saya berikan emosi ketakutan sebenar kehilangan seorang anak,” kongsinya.

Penanda aras

Meraih pujian dengan kualiti lakonan yang diberikan, Fattah enggan terlalu mendabik dada namun menerima segala respons positif dengan hati terbuka.

PAK LEE bukan sahaja menuntut Fattah mendalami kehidupan sebagai tok dalang bahkan perlu menguasai dialek Kelantan dengan baik.

Tergelak kecil mendengar pujian ramai, dia bagaimanapun berharap kerja kerasnya untuk Kulit Wayang dapat menepis semua stigma negatif orang ramai yang sebelum ini kerap mempertikai kemampuannya sebagai pelakon.

“Bila lakonan dalam filem ini menjadi penanda aras baharu sebagai pelakon, lagi gemuruh sebab jangkaan orang akan lebih tinggi selepas ini.

“Pasti ada yang nak saya beri lebih selepas filem ini dan itu jadi satu cabaran besar.

“Tapi insya-Allah, selagi ada pengarah dan produser mahu ambil saya berlakon, saya akan beri yang terbaik. Cuma akan lebih selektif dalam menerima karya supaya dapat terus membuktikan kemampuan diri,” tuturnya.

Diusik karakternya itu mampu memberi sinar untuk membawa pulang trofi anugerah pelakon lelaki terbaik satu hari nanti, dia enggan meletakkan sebarang harapan tinggi.

“Kalau orang kata lakonan saya bagus, alhamdulillah dan terima dengan rasa gembira.

“Cuma kalau cakap boleh menang anugerah, saya doa sahaja cuma tak mahulah tanam harapan dalam diri,” ujarnya lagi.

Selain Fattah, Kulit Wayang yang mengangkat tema tentang warisan budaya wayang kulit di negeri Pantai Timur turut dibintangi Pekin Ibrahim, Jenna Kamaratih, Reynavenzka Deyandra dan Amanda Ang.

Naskhah bergenre fantasi dan seram itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Mei 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI