TEL AVIV – Ribut pasir teruk melanda Israel semalam ketika angin kencang membadai selatan Israel, lapor saluran berita NDTV.
Rakaman video disiarkan di media sosial menunjukkan awan debu gergasi menyelubungi Gurun Negev dan Beersheba di selatan Israel dengan langit bertukar warna merah jingga.
Media tempatan melaporkan, ribut pasir itu sampai ke sebuah pangkalan tentera Israel di Negev.
Rakaman dikongsi di media sosial menunjukkan askar-askar Israel sukar menutup pagar di sebuah pangkalan tentera kerana angin kencang.
Terdahulu, ahli-ahli meteorologi memberi amaran mengenai angin kencang yang bertiup di selatan Israel.
“Pada siang hari, angin kencang akan melanda, jerebu tebal diramal berlaku malah ribut pasir akan terjadi di selatan Israel.
“Kemuncak gelombang haba ini dijangka berlaku tengah hari ini(semalam)!dengan bacaan suhu antara 36 hingga 38 darjah Celsius,” lapor saluran berita Israel National News, memetik ahli meteorologi, Lior Sudri
Berikutan keadaan cuaca melampau, kerajaan Israel membatalkan majlis bagi meraikan Hari Kemerdekaan Israel yang ke-77. – AGENSI