DUNGUN – Seorang pengurus syarikat kejuruteraan maut selepas skuter sport touring jenis Zontes 368G ditunggang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 332.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), berhampiran Kuala Dungun di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Shahrul Isra Razekin, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian si mati dalam perjalanan ke Kota Bahru, Kelantan dari arah Kuantan, Pahang.
“Setibanya di lokasi kejadian, skuter ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Maizura berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian Shahrul Isra.
Mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.
Skuter sport touring jenis Zontes 368G pernah tular di media sosial dan menjadi ‘kegilaan’ ramai.
Difahamkan, selepas ditempah, pembeli terpaksa menunggu sehingga Disember bagi mendapatkan skuter tersebut. – KOSMO! ONLINE