KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah disyaki berselindung di sebalik perniagaan kosmetik selepas menahan seorang lelaki di Kampung Paya Keladi di sini Isnin lalu.
Suspek berusia 35 tahun yang juga pengusaha kedai kosmestik ditangkap dalam serbuan di sebuah premis kosong pada pukul 8.40 malam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu dan aset-aset milik suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan haram dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta.
“Pemeriksaan menemui bungkusan tulisan Cina mengandungi syabu seberat 1.02 kilogram.
“Dadah itu dianggarkan bernilai RM32,000 dan boleh digunakan kira-kira 6,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi..
Beliau memberitahu, aset-aset milik suspek yang disita bernilai RM981,500 terdiri daripada kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard, kereta Mini Cooper Countryman dan kenderaan utiliti sukan Range Roverserta, barang kemas dan wang RM7,700,” katanya. – KOSMO! ONLINE