SEBERANG PERAI – Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dia dipercayai terjatuh dari bot ketika menyauk kerang di Kilometer 4.2, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua di sini, hari ini.
Mangsa, Ismail Ahmad, 28, sehingga kini masih belum dijumpai dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.39 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi SAR melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan.
“Kejadian melibatkan sebuah bot melanggar tiang bernombor 274 di Jambatan Kedua Pulau Pinang.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pengendali bot telah terjatuh ke laut. Turut berada di lokasi kejadian ialah bapa mangsa dan rakan yang menaiki bot lain, keadaan kedua-dua mereka selamat.
“Ketika ini, kerja-kerja pencarian di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh dilakukan menggunakan kaedah secara ‘Water Surface Searching’,” katanya kepada Kosmo! di sini sebentar tadi.
Tambahnya lagi, operasi pencarian turut dibantu oleh persatuan nelayan, Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA). – KOSMO! ONLINE