MELAKA – Seorang pemandu dan kelindan lori ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dipercayai positif dadah dalam Op Khas Pengarah (Lebih Muatan) di sekitar negeri ini malam tadi.
Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu berusia dalam lingkungan 40-an dan kelindan, 20-an, didapati positif methamphetamine.
“Dalam operasi selama 11 jam bermula pukul 10 malam, sebanyak 89 kenderaan diperiksa, 21 kenderaan diarah timbang dan 19 kenderaan membawa lebih muatan.
“Kita turut menahan pemandu dan kelindan yang membawa lori berlainan kerana positif dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kedua-dua individu yang ditahan membawa kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, hasil soal siasat, kebanyakan pemandu yang membawa muatan berlebihan memberi alasan mahu mendapatkan komisen atau upah lebih.
“Secara keseluruhan sebanyak 43 notis dikeluarkan dalam operasi ini. Sebuah lori didapati gagal hadir timbang dan diberikan notis di bawah Sekyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melalui pos kepada pemandunya,” katanya. – KOSMO! ONLINE