WASHINGTON – Ketua kakitangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendedahkan bahawa bilionair, Elon Musk tidak lagi ‘memasuki pejabat’ di White House, lapor akhbar Metro UK semalam.
Musk yang juga Ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) menjadi pemain utama dalam pentadbiran Trump selepas 100 hari beliau memegang jawatan Presiden.
Kenyataan itu dibuat selepas penglibatan Musk di White House dilihat menurun dengan ketara.
Ketua Kakitangan Trump, Susie Wiles mendedahkan bahawa Musk akan mengurangkan peranannya di White House.
“Musk tidak berhenti sama sekali. Beliau hanya tidak terlibat seperti sebelum ini. Beliau juga tidak pernah ke sini (White House) secara fizikal tetapi itu tidak penting.
“Orang yang melakukan kerja ini akan melakukan perkara yang baik dan memberi perhatian kepada butirannya.
“Beliau akan mengurangkan peranannya sedikit, tetapi tidak akan meninggalkan pentadbiran serta pekerjanya,” tambah Wiles.
Keputusan itu dilakukan selepas Musk kehilangan lebih AS$102 bilion (RM440 bilion) sejak awal tahun susulan penurunan keuntungan jualan Tesla di pasaran AS. – AGENSI