KUANTAN – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian sebanyak RM107,000 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 21 Januari lalu selepas mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun berminat menyertai satu skim iklan pelaburan saham yang ditawarkan di Facebook.
“Mangsa kemudiannya telah menekan pautan di dalam iklan tersebut dan terus berhubung dengan penama ‘Hana Safiyah’ sebelum suspek memasukkan pengadu ke dalam kumpulan WhatsApp.
“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan dan suspek telah mengarahkan mangsa untuk memuat naik satu aplikasi melalui pautan yang diberikan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa telah melakukan 12 kali transaksi pindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM107,000.
Katanya, mangsa kemudiannya mendapati jumlah wang keuntungan dan modal pelaburan dalam aplikasi pelaburannya telah mencecah RM449,875.80.
“Mangsa mahu membuat pengeluaran wang namun suspek meminta mangsa membuat pembayaran cukai sebanyak RM30,000.
“Mangsa kemudiannya berasa telah ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan,”katanya. – KOSMO! ONLINE