HULU TERENGGANU – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan di seluruh Terengganu berjaya menjana jualan lebih RM13 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Musfi Lat berkata, PJRM tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 314,500 pengguna negeri ini dalam tempoh sama.
Menurutnya, PJRM menawarkan 105 produk barangan keperluan dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
“Sebanyak 314 siri PJRM telah diadakan di setiap lapan kawasan Parlimen seluruh Terengganu sehingga 29 April lalu.
“Sebanyak 136 siri PJRM melibatkan sejumlah 177 premis, bergerak dan sebuah pasar,” katanya selepas memantau PJRM di Dataran Kuala Berang, di sini hari ini.
Mohd. Musfi berkata, KPDN Terengganu merancang untuk menganjurkan lebih 100 PJRM lagi di seluruh negeri sehingga akhir tahun ini.
Justeru, Mohd. Musfi memberitahu PJRM akan diperluas ke dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) Terengganu terpilih mulai bulan depan. – KOSMO! ONLINE