KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan setiap pekerja mempunyai peranan penting dalam mencipta sebuah negara yang hebat serta berdaya saing.
Katanya, tidak kira mereka berlatarkan pekerjaan di kilang, jabatan kerajaan, klinik, sekolah, balai polis atau mana-mana sektor, ia sudah menjadi tanggungjawab dalam memainkan peranan penting menggerakkan perubahan serta mencatat kejayaan negara.
“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
“Percayalah kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” katanya.
Belia berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan Madani bertekad untuk terus memartabatkan pekerja di negara ini ke tahap yang lebih baik, tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit atau kepercayaan agama.
Beliau turut mengingatkan golongan pekerja supaya tidak membenarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik terus menghantui seterusnya menghalang produktiviti dan perkhidmatan.
“Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.
“Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum. Ini tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE