fbpx

Insiden van sekolah: ‘Saya hilang anak sebab kecuaian orang lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENDIANG Yu Zie dituntut ahli keluarga selepas selesai menjalani prosuder bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Bapa kepada kanak-kanak lelaki sebuah tadika yang ditemui mati akibat lemas selepas tertinggal di dalam van sekolah di Taman Bukit Indah di sini semalam kecewa dengan kecuaian pemandu serta pihak pengurusan pusat asuhan terbabit.

Teo Jia, 37, berkata, atas kecuaian orang lain dia kehilangan satu-satunya anak, Yu Zie, 5, yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Jelasnya yang bekerja di Singapura itu, dia menerima perkhabaran duka itu kira-kira pukul 1 tengah hari selepas guru tadika menghubunginya supaya segera ke hospital.

“Cikgu ‘call’ suruh saya dan isteri datang segera ke hospital swasta berdekatan rumah sebab anak dalam kecemasan.

“Apabila sampai saya tengok anak sudah terbaring kaku, lemah tidak bernafas, doktor cakap mereka sudah sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa anak saya,”katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Teo memberitahu, sebelum kejadian itu, anaknya dijemput pemandu van berusia 57 tahun di kediamannya di Taman Bukit Indah kira-kira pukul 7.15 pagi.

Katanya, pada kebiasaannya van sekolah akan tiba di tadika yang terletak dua kilometer dari kediamannya kira-kira pukul 8.15 pagi.

“Saya dapat tahu, selepas sampai, pemandu van turunkan budak-budak masuk sekolah dan akan tinggalkan van berhampiran tadika sebelum pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.

“Mungkin anak saya tertidur masa itu, pemandu van mungkin tidak menyedarinya, tahu-tahu dalam tengah hari pukul 12 tengah hari jumpa anak sudah tidak bernyawa di bahagian pintu van, mungkin nak keluar tapi tak dapat.

“Saya kecewalah, sepatutnya pemandu van periksa betul-betul dan pastikan budak-budak semua turun baru boleh tutup atau balik.

“Pihak tadika juga cuai, sepatutnya semak kehadiran, kalau budak tak datang ke apa, hubungi keluarga tanya anak dekat mana ke apa,”katanya.

Jelasnya, dia menghantar anaknya itu ke tadika berkenaan sejak tiga tahun lalu ketika mangsa berusia dua tahun.

Katanya, dua tahun sebelum ini dia atau isterinya akan menghantar sendiri anaknya ke tadika namun sejak pertengahan tahun lepas dia menggunakan perkhidmatan van sekolah.

Dalam pada itu, Teo berharap pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas apa yang berlaku.

Katanya, dia tidak mahu kes menimpa anaknya itu berlaku ke atas orang lain.

Mendiang Yu Zie akan dikebumikan di Nirvana Memorial Park Christian Kong Kong, Masai, Pasir Gudang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI