KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta setiap kementerian di seluruh negara memainkan lagu Solidariti Perjuangan bagi meningkatkan rasa semangat dalam kalangan pekerja.
Menurut Anwar, lagu yang ditulis khas oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu mempunyai mesej yang tinggi dalam menggambarkan kepayahan golongan pekerja demi memastikan kejayaan sesebuah negara.
“Bila saya dengar lagu (Solidariti Perjuangan) mula tadi tentang pekerja, saya tersentuh. Saya tak mahu lagu ini hanya (dimaikan) untuk persembahan kementerian.
“Saya mahu lagu ini dipasang di setiap kementerian seluruh negara kerana lagu ini menyentuh kita semua dan menyedarkan kita tentang semangat pekerja,” katanya.
Belia berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Anwar membuat satu permintaan agar lagu Solidariti Perjuangan yang dinyanyikan oleh pasukan koir Kementerian Sumber Manusia didendangkan sekali lagi sebagai persembahan penutup selepas ia dinyanyikan pada awal majlis sebelum itu. – KOSMO! ONLINE