fbpx
Keadaan rumah yang sempit, kurang privasi dan ramai ahli keluarga menjadi antara punca gadis golongan B40 terdedah untuk lari dari rumah untuk mencari kebebasan serta menenangkan fikiran. – gambar hiasan

Anak gadis umur 14, 15 tahun paling ramai lari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Anak gadis golo­ngan B40 yang tinggal di dalam rumah sempit, tidak mempunyai ruang privasi dan serabut de­ngan masalah keluarga di Selangor le­bih cenderung untuk menghilangkan diri yang biasa­nya ­berakhir dengan kepulangan semula atau pergi tidak kembali.

Selain itu, terlalu menginginkan kebebasan seperti orang lain yang dilihat di media sosial juga menjadi pencetus untuk gadis golongan itu lari dari rumah.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Selangor menunjukkan, kategori umur 14 dan 15 tahun paling tinggi melakukan sedemikian dengan melibatkan 170 kes bagi tempoh 2023 hingga Januari tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, siasatan mendapati ada antara mereka yang melarikan diri ke­rana bosan dengan kehidupan yang susah, ahli keluarga ramai, manakala rumah pula sempit.

Katanya, situasi diburukkan lagi apabila mereka ingin bebas daripada kawalan dan mempunyai masalah dengan ibu, bapa atau ahli keluarga lain.

“Kebanyakan yang hilang daripada golongan B40 berdasarkan pemantauan dan siasatan polis. Ada juga gadis T20 yang hilang tetapi peratusannya lebih rendah.

“Sebab itu saya sering tekankan supaya ibu bapa perlu menyediakan rumah selamat untuk anak-anak berkembang dan kembali semula,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!.

Menurut Anfaal, rumah bukanlah sekadar struktur fizikal, tetapi juga mempunyai rohnya iaitu sebagai tempat yang selamat dan mendapat kasih sayang.

Tambahnya, apabila rumah bukan lagi tempat selamat bagi remaja, akan berlaku ketegangan selain ditambah dengan pancingan daripada kekasih dan rakan serta janji manis media sosial seterusnya menggalakkan lagi kes lari rumah.

“Statistik menunjukkan 419 orang dengan 304 daripadanya perempuan dilaporkan hilang bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun dalam tempoh yang sama,” katanya.

Ujar Anfaal, tempoh masa pa­ling lama dilaporkan hilang bagi kategori umur tersebut adalah tujuh hari dengan 237 kes. Bagi 14 hari pula sebanyak 82 kes diikuti 21 hari (38) dan 30 hari (20).

“Daripada keseluruhan yang hilang, seramai 377 orang berjaya ditemui semula manakala 42 lagi masih hilang. Tiada kematian direkodkan bagi kes kehilangan bawah 16 tahun,” katanya.

Menurut Anfaal, berbeza untuk umur 16 hingga 18 tahun didapati 47 kes kehilangan berjaya ditemui semuanya semula bagi tempoh sama.

Pecahan umur pula menunjukkan mereka berusia 16 tahun melibatkan 20 kes, 17 tahun (18) dan 18 tahun (9).

“Hanya satu kes kematian melibatkan remaja perempuan berusia 17 tahun akibat kemala­ngan jalan raya tahun lalu. ­Mangsa ditemui semula setelah enam hari dilaporkan hilang.

“Setakat ini, tiada kes mereka yang hilang dijadikan pelacur atau pengemis sindiket tertentu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, statistik PDRM ini menunjukkan bahawa mereka yang lari dari rumah ini majoritinya sedang menghadapi kesukaran-kesuka­ran dalam hidup.

“Justeru, amat penting keutuhan institusi kekeluargaan terus dipelihara dan diserikan dengan kasih sayang.

“Di peringkat Kerajaan Negeri Selangor, saya meletakkan perkara ini sebagai salah satu prioriti utama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN