KUANTAN – Perjalanan sebuah keluarga mengambil anak di sebuah institusi pengajian tinggi berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut dirempuh lori di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman berhampiran Taman Pertanian Jubli Perak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Proton Saga dalam perjalanan dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ke Paka, Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu memberhentikan kereta di bahu jalan untuk membeli jambu.
“Ketika pemandu dan isteri mahu melintas jalan secara tiba-tiba datang sebuah lori dari arah sama hilang kawalan lalu melanggar kedua-dua mangsa dan kenderaan di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari, susulan pelanggaran itu, lima mangsa yang menaiki kereta Proton Saga tersebut dikejarkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa di sini bagi mendapatkan rawatan.
Pada pukul 10.22 malam semalam, mangsa, Umi Khaltom Mohamad Danyan, 41, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan, manakala anaknya berusia lapan tahun parah.
Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- KOSMO! ONLINE