PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat berkaitan penyeludupan barangan berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dipercayai mempunyai unsur rasuah.
Menurut sumber, kegiatan penyeludupan barangan itu yang tidak mengikut standard operasi prosedur (SOP) mendedahkan KLIA kepada isu ancaman keselamatan terutama dua kebakaran yang berlaku pada 2024.
“Maklumat melibatkan kegiatan penyeludupan barangan berbahaya itu diterima awal tahun ini dan SPRM telah membuka satu kertas siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, barangan termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dan diikrarkan sebagai produk isi rumah,” katanya tadi.
Sumber berkata, SPRM masih menyiasat syarikat dan pihak terlibat termasuk mengenal pasti isu kelemahan tata kelola sehingga menyebabkan barangan itu mudah diseludup masuk ke negara ini.
SPRM akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan lapangan terbang serta agensi penguatkuasaan berkaitan dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak tertentu untuk siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE