TUMPAT – Seorang pelajar Kolej Komuniti Pasir Mas maut selepas motosikal yang dia tunggang dipercayai bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Banggol Beta di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Mohd. Rawi @ Muhammad, 19, yang sedang dalam perjalanan ke pusat pengajian berkenaan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
Kakak mangsa, Fadila, 39, berkata, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah mendapati arwah Ahmad keluar dari rumah kira-kira pukul 8.23 pagi untuk ke kolej.
Menurutnya, sebelum ini, dia akan menunggu sepupunya ke kolej, namun arwah hari ini bergerak seorang diri.
“Sepupunya tiba awal di kolej dan tidak mengetahui Ahmad terlibat dengan kemalangan. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kemalangan yang menimpa Ahmad.
“Saya lihat jasadnya yang sudah tidak bernyawa diselubung dengan kain putih semasa tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tumpat di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE