ALOR SETAR – Sepasang suami isteri diberkas disyaki pengedar dadah setelah pihak polis menemukan pelbagai jenis dadah yang popular untuk berparti termasuk jenis sintetik MDMA bernilai kira-kira RM189,644 dalam satu serbuan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pasangan berusia 50-an itu ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah dekat taman perumahan di sini.
Beliau tidak menafikan, ia melibatkan kes pertama pengedaran dadah jenis MDMA tersebut di daerah ini yang dikatakan semakin meraih perhatian dalam kalangan penghibur kelab malam atau pusat hiburan di daerah ini untuk ‘bergoyang’.
“Dalam serbuan ini, kita berjaya merampas sebanyak 10,340 biji pil Eramin 5, dengan anggaran berat 2.8 kilogram (kg). Selain itu, turut dirampas adalah satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin, dengan anggaran berat 0.5 kg, serta serbuk dadah disyaki jenis MDMA, dadah sintetik yang banyak digunakan di pusat hiburan dengan berat anggaran 0.4 kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM189,644 dan dengan jumlah ini, dadah tersebut berpotensi untuk dibekalkan kepada seramai lebih kurang 3,200 orang penagih di sekitar Alor Setar. Dalam serbuan ini juga, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM530, yang dipercayai diperoleh hasil aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil saringan awal ke atas kedua-dua suspek mendapati lelaki berkenaan yang juga dalang kes itu positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Lelaki tersebut juga mempunyai lima rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Manakala perempuan tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Mei, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya serta Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta),” katanya.-KOSMO!ONLINE