fbpx

Pelajar IPT didakwa ‘usik’ kekasih dalam kereta ketika Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HAZIQ didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di Kulai, 15 April lalu.

JOHOR BAHRU – Ketika orang ramai meraikan Aidilfitri, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam didakwa mengambil kesempatan ke atas kekasihnya yang juga remaja bawah umur di dalam sebuah kereta di Kulai pada pertengahan bulan ini.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Haziq Jemain, 20, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia 13 tahun.

Pelajar jurusan diploma kejuruteraan penyelenggaraan pesawat di Selangor itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa melakukan sentuhan fizikal dengan menyentuh dada mangsa yang juga pelajar tingkatan satu.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual di hadapan mangsa sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam kereta jenis Perodua Axia pada pukul 11.40 pagi di tepi jalan berhampiran sebuah pangsapuri di Kulai, 15 April lalu.

Pendakwaaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan dan Seksyen 15(c) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir.

Nor Fadilah mencadangkan tiada sebarang jaminan diberikan namun jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara, pihaknya menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat perlu melapor diri di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.

Mohamad Isa memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya masih belajar dan ditanggung sepenuhnya oleh ibu yang bekerja sebagai guru, manakala bapa pula peniaga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 berserta syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan. Kes disebut semula pada 11 Jun ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI