fbpx

Pekerja maut kepala tersepit mesin blow moulding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Seorang pekerja lelaki warga asing maut apabila kepalanya tersepit dalam mesin blow moulding ketika mengeluarkan botol plastik dalam kejadian di sebuah kilang di Pelabuhan Klang, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja baharu dan telah ditugaskan untuk kerja pembersihan di bahagian pengeluaran kilang.

Katanya, ketika kejadian mangsa cuba mengeluarkan botol plastik yang tersangkut di bahagian mesin tersebut.

“Mangsa telah membuka pintu mesin sebelum komponen mesin tersebut bergerak dan menghimpit kepala mangsa itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian sehingga siasatan selesai.

Dua notis larangan turut dikeluarkan atas kegagalan pihak majikan menyediakan Prosedur Kerja bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan mesin.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelasnya.

JKKP Selangor menegaskan pihaknya memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja dan membuat penilaian risiko.

“Seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI