KUALA LUMPUR – Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris mengemukakan permohonan maaf tanpa bersyarat kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain di Mahkamah Tinggi di sini.
Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar prosiding komital membabitkan saman fitnah RM3 juta yang diperoleh KPN terhadap Wan Muhammad Azri atau Papagomo. Bagaimanapun peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan mengenai hasratnya anak guamnya untuk meminta maaf.
Prosiding komital adalah prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang dikeluarkan.
Pernyataan maaf itu adalah,:
“Saya, Wan Muhamamd Azri bin Wan Deris dengan suci hati tanpa apa-apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, Tan Sri Razarudin bin Husain selaku Ketua Polis Negara di atas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan penggunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 2025.
“Saya berakujanji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN serta akan memadamkan kenyataan bertarikh 14 dan 15 Januari ini, ” kata pernyataan itu.
Papagomo membuat permohonan maaf itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong berhubung kenyataan pada 14 Januari lalu dan penggunaan gambar imej KPN yang diubah suai pada 15 Januari lalu.
Selepas pernyataan itu dibacakan, Razarudin dan mahkamah menerima pernyataan maaf berkenaan dengan syarat ia disiarkan dalam platform YouTube, TikTok, X, Telegram bermula hari ini dan tidak diturunkan sekurang-kurangnya selama tujuh hari.
Papagomo juga dikehendaki memadamkan kenyataan dan gambar tersebut bermula hari ini dengan mahkamah turut memerintahkan lelaki itu membayar kos RM5,000.
Pada prosiding itu, peguam Raam Kumar bertindak bagi pihak Razarudin.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi melarang dan menghalang Papagomo atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Sebelum ini, Razarudin memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Papagomo pada 10 Februari lalu kerana tidak mematuhi perintah mahkamah.
Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Papagomo pada 24 Januari lalu dengan memohon supaya beliau dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 31 Disember tahun lalu dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarangnya daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Papagomo juga diperintah menarik balik, menurun dan memadamkan penerbitan berkenaan.
Pada 26 Disember lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo. Saman itu difailkan berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE