TAIPING – Seorang operator kilang kerugian RM449,100 selepas terperdaya dengan sindiket skim pelaburan tidak wujud baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 10.36 malam semalam.
Mangsa menyatakan dia ditipu berkaitan tipu pelaburan.
“Kejadian bermula pada 16 Februari lalu selepas mangsa melayari Facebook dan berminat untuk menyertai skim pelaburan berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Mangsa kemudian menekan pautan untuk dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp. Mangsa kemudian berhubung dengan pentadbir kumpulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nasir berkata, mangsa dijanjikan keuntungan beberapa peratus hasil pelaburan bergantung kepada kenaikan harga saham semasa. Mangsa kemudian diperkenalkan dengan seorang lagi individu.
Bermula 16 Februari hingga 12 April lalu mangsa membuat 19 transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun bank berjumlah RM449,100.00.
Mohamad Nasir berkata, mangsa perlu menyelesaikan pembayaran pelan tersebut selama tiga bulan iaitu tarikh matang pelaburan dan kononnya akan mendapat keuntungan.
Mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan semalam sebelum membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE