WASHINGTON – Spesies ketam yang yang mampu memanjat konkrit setinggi 4 meter ditemui buat kali pertama kali di sungai selatan sempadan Washington, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita MailOnline semalam.
Penemuan membimbangkan itu dibuat pada 22 April lalu apabila seorang nelayan komersial menangkap seekor ketam miten Cina di Sungai Lower Columbia, selatan sempadan negeri Washington, lapor Jabatan Ikan dan Hidupan Liar Oregon.
“Ketam miten Cina belum disahkan berada di negara-negara Barat Laut Pasifik sehinggalah penemuan tersebut,” kata jabatan itu dalam kenyataan akhbarnya.
Seorang pegawai hidupan liar bagaimanapun berkata, spesies itu pernah memusnahkan habitat domestik di Teluk San Francisco, tiga dekad lalu.
“Ketam miten pernah menyebabkan kerosakan infrastruktur dan ekologi yang teruk di Teluk San Francisco dan kawasan sekitarnya ketika pada akhir 1990-an,” katanya.
Pakar-pakar membuat spekulasi bahawa ketam jantan yang ditemui itu mungkin dilepaskan secara haram ke dalam sungai. – AGENSI