MELAKA – Kematian seorang guru lelaki dalam nahas ketika melakukan aksi di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) berhampiran Durian Tunggal, di sini, Ahad lalu disahkan akibat terkena serangan jantung.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang berusia 48 tahun dan beralamat di Taman Pulai Perdana, Negeri Sembilan kemudian disahkan meninggal dunia selepas lima jam dirawat di Hospital Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik mendapati punca kematian adalah akibat serangan jantung.
“Mangsa terkena serangan jantung dengan tiga saluran darahnya tersumbat,” katanya ringkas.
Isnin lalu Kosmo! melaporkan seorang guru maut ketika melakukan aksi di Kejohanan Sucimuci Time Attack dianjurkan Sucimuci Motorsport.
Kereta jenis Honda Civic dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ketika melalui satu selekoh tajam di litar berkenaan.
Polis meneruskan siasatan untuk mengesahkan sama ada nahas berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan atau kelemahan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak penganjur. – KOSMO! ONLINE